Friday, March 6, 2009

TEORI R.A.H.M.A.N (persepsi dan konspirasi).

Salam hormat,

Hujung minggu ini genaplah setahun umur PRU12 . Andai anak yang lahir dan menyambut hari ulang tahun pertama pada 8 march ini , saya yakin anak ini sudah pandai berjalan dan menuturkan beberapa patah perkataan . Akan tetapi malang sekali bagi Rakyat Malaysia kerana PRU12 umpama menyambut kelahiran bayi pra-matang , yang sehingga kehari ini hampir genap setahun kelahiran masih belum mampu di keluarkan dari incubator.


Di negeri Perak pula yang sehingga kehari ini masih belum kelihatan titik kesudahan dan apakah ianya akan berterusan sehingga yang menang jadi abu , yang kalah jadi arang.? Mungkin benar bagai di kata bahawa mentaliti orang Malaysia ini mentaliti dunia ketiga. Hanya asyik dengan politik tanpa kesudahan tanpa memikirkan bala kemelesetan ekonomi yang melanda seluruh dunia sekarang ini.


Apa yang jelas kelihatan apabila semakin hampir Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan bermula 24 march ini hanyalah kata nista , sumpah-seranah dan tuduhan liar sesama sendiri .Jika dulu dengan budaya surat layang dan buku , tapi kini peranan yang sama telah di ambil alih oleh bloggers dan internet.


Oleh kerana mood pilihanraya yang tidak pernah padam sehingga kehari ini , saya masih belum melihat strategi dan tindakan yang berkesan oleh Kerajaan untuk menangani masalah ekonomi yang melanda sekarang ini. Yang terlihat hanyalah never ending story dalam politik dari cuba menangani kecelaruan ekonomi.


Kos sara hidup yang meningkat , pemberhentian pekerja yang telah mencapai puluhan ribu orang , masalah pendatang asing yang seperti tiada jalan penyelesaian dan budaya tuduh dan saman pemimpin politik juga masalah moral mereka seakan mewujudkan satu keadaan yang rakyat dalam keadaan terdesak. Terdesak dalam mencari panduan untuk hala tuju negara mencapai impian menjadi negara maju .? Ya , saya merasakan kemelut ekonomi dan kecelaruan politik hari ini akan memadamkan impian yang masih tersisa untuk negara mencapai Wawasan 2020.


Ketika inilah pihak PR mengambil peranan mereka dan memberikan gambaran seolah pihak Kerajaan tidak mesra rakyat . PR akan sedaya upaya mengambil alih pemerintahan negara , tidak dinafikan itulah matlamat mereka . Bagi PR , apa sahaja yang tidak memihak kepada mereka akan di jadikan modal politik untuk memburuk-burukkan kerajaan , lebih -lebih lagi berita sensasi tentang pemimpin dalam kerajaan.


Datuk Seri Najib yang kini berdarah manis pastinya sedang memperkemaskan langkah beliau agar tidak tersungkur sebelum `hari persandingan`. Lebih-lebih lagi bayangan wanita Mongol terus mengekori langkah beliau .


InsyaAllah teori r.a.h.m.a.n akan menjadi nyata dalam beberapa hari lagi , walaupun ada tangan-tangan jahat yang cuba menggagalkannya . Saya lebih tertarik akan teori atau ramalan yang menyatakan` N ` hanya akan berkuasa selama 3 tahun .?


Amat menarik untuk sesiapa sahaja meramal dan memberikan teori masing-masing , kerana itulah PAU yang bermula 24 march ini amat di tunggu - tunggu oleh semua rakyat Malaysia yang amat kaya dengan teori , imaginasi dan lebih-lebih lagi konspirasi.


P/S......teringat cerita kawan melepak dan sepermainan saya tentang kisah singa dan arnab yang masing - masing berlari untuk survival . singa berlari mengejar arnab untuk sumber makanannya dan arnab berlari untuk mengelak di makan......haih , dunia politik kita dah hampir sama dengan cerita dalam rimba.


Wassalam.




No comments: